Wednesday, February 13, 2013

Pulut Kuning dan Rendang Ayam

Salam...

Kita baru sahaja lepas cuti hujung minggu panjang bersempena dengan Tahun Baru Cina. Inilah kali pertama saya rasa, saya dan famili tak kemana-mana di cuti umum yang panjang, terutamanya balik kampung. Hehe..perancangannya tidak sebegitu.. tapi kita manusia biasa hanya boleh merancang, hanya Allah yang menentukan. Dek kerana jem teruk Sabtu lepas untuk ke utara (ke mana-mana arah pun sebenarnya..), kereta kami buat hal dan kami membuat keputusan untuk berpatah balik ke Bangi dan membatalkan niat nak balik kg. Maka bercutilah kami di rumah sendiri selama 4 hari 3 malam.. (sebenarnya Ahad malam ke Melaka membawa hati yg lara tak dapat balik kg..nasib baik ada hotel masih kosong :) tapi masyaallah jemnya lebihkurang je seluruh bandaraya Melaka)



Semalam, di penghujung cuti CNY ini, saya buat rendang ayam dan pulut kuning. Tak ada apa-apa special ocassion, saje je nak makan anak beranak, kebetulan anak saudara husband pengantin baru pun ada datang. Yang kelakarnya, anak no 3 ada sebut "Umi, nanti bila dikja khatam quran, umi buatkan pulut kuning ye ke sekolah agama....dikja suka". Bagus angan2 anak Umi nak khatam quran, padahal baru juzuk 9... :)

Resepi rendang ayam saya:

1 ekor ayam dipotong ikut suka (nak kecik atau besar terpulang)
10 ulas bawang merah
2 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
15 tangkai cili kering (rendam atau rebus dahulu)
2 inci lengkuas
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 biji buah keras
4 batang serai
1 sb serbuk ketumbar
1 sb serbuk jintan manis
1/2 sb serbuk jintan putih
Santan RM2
3-4 sb kerisik
3 helai daun kunyit
Garam
Gula merah

+ Ayam dibasuh dan tos.
+ Blend cili kering, lengkuas, halia, kunyit, buah keras, serai. Tuang dalam periuk/kuali besar untuk memasak rendang.
+ Blend pula bawang besar, bawang merah dan bawang putih. Tuang ke dalam periuk tadi juga. (nak blend semua sekali pun boleh, cuma takut banyak benda dlm blender tu)
+ Masukkan serbuk ketumbar, jintan manis dan jintan putih. Kacau rata. Buka kan api.
+ Kacau sampai mendidih rempah2 tu dan masukkan ayam. Masukkan garam dan kacau sebati.
+ Biarkan ayam empuk dan air kering sedikit.
+ Bila air dah kering sedikit, masukkan santan. Kacau sebati dan biarkan kuah memekat (sekali sekala dikacau)
+ Masukkan daun kunyit yg dihiris halus. Teruskan kacau sekali sekala.
+ Masukkan kerisik, dan gula merah (rasakan garam juga dah cukup masin atau belum)
+ Bila dah mencapai kepekatan yang diingini, tutup api.

Pulut Kuning

4 cawan beras pulut - basuh dan rendam dengan sedikit pewarna kuning atau serbuk kunyit selama 2 jam
2 cawan santan pekat, dimasukkan garam 2 sk

+ Kukus pulut selama 1/2 jam - saya masukkan beras pulut ke dalam periuk kukus berlubang tanpa lapik.. Kalau periuk kukus yang berlubang agak besar, anda perlu lapik supaya beras tak jatuh. Sebaik-baiknya lapik dengan jaringan dan bukannya loyang supaya pulut senang masak (arwah mak saya dulu guna jaring bawang atau buah yg kadang jual dalam jaring tu).
+ Selepas 1/2 jam atau setelah beras tidak lagi berwarna putih di tengahnya, angkat dan keluarkan ke dalam mangkuk besar. Gaulkan dengan santan sampai rata. Tekan2 dengan senduk supaya pulut tidak bergentel dan rata mengenai santan.
+ Masukkan semula ke dalam kukusan dan kukus semula selama 20 minit.
+ Angkat dan masukkan dalam mangkuk, tekan-tekan sikit.

Jemput makan...

No comments:

Post a Comment